Friday, May 5, 2017

KEPENTINGAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.

PENGENALAN:

Penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran memberikan banyak manfaat atau kelebihan kepada guru dan pelajar di sekolah. Menurut Zamri Mahamod (2008) dalam buku yang bertajuk “Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu”, penggunaan teknologi seperti komputer dan internet boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi secara tidak langsung akan merangsang kemahiran berfikir serta membina kekuatan minda dalam kalangan pelajar agar dapat menghadapi pelbagai cabaran pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini. Oleh itu, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran berupaya merangsang pemikiran pelajar berasaskan kepelbagaian sumber maklumat yang melampaui batasan bilik darjah (Chua S.G. et al. 1999). Justeru, tidak dapat disangkal lagi bahawa penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan manfaat kepada guru dan pelajar di sekolah.

KEPENTINGAN TEKNOLOGI KEPADA GURU.

i.                    Guru dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengajaran.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengajaran guru. Hal ini demikian kerana penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar dapat membantu guru mengatasi masalah kekurangan bahan bantu mengajar. Ketua Bidang Bahasa mendapati bahawa berdasarkan pengalaman dan penelitian terhadap pengajaran guru, kekurangan bahan bantu mengajar yang sesuai menghalang guru untuk mempelbagaikan kaedah dan pendekatan dalam pengajarannya. Hal ini menyebabkan kebanyakan guru hanya menumpukan pengajarannya menggunakan buku teks sebagai bahan bantu mengajar. Oleh itu, penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengajaran agar corak pengajaran guru dapat diubah daripada corak pengajaran yang berkonsepkan tradisional kepada corak pengajaran moden yang berteraskan penggunaan teknologi untuk membantu pengajaran. Contoh penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar termasuklah ‘powerpoint’, ‘flash’, video, dan audio. Penggunaan teknologi tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran dapat memberi gambaran yang lebih jelas berkaitan topik pengajaran dan seterusnya dapat menghasilkan persembahan pengajaran yang lebih menarik dan berinovasi.

ii.                  Guru dapat mencari maklumat pengajaran dengan cepat dan tepat.
Penggunaan teknologi juga membantu guru mencari maklumat pengajaran dengan lebih cepat dan tepat. Masalah kekangan masa yang dihadapi oleh guru dalam penyediaan maklumat-maklumat berkaitan pengajaran menyukarkan guru-guru untuk menyediakan maklumat berkaitan topik pengajaran. Oleh itu, penggunaan teknologi seperti internet membantu guru untuk mendapatkan maklumat secara terus tanpa perlu menggunakan masa yang terlalu lama hanya untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Selain itu, perkongsian maklumat berkaitan juga boleh diperoleh melalui internet untuk memudahkan guru-guru mendapatkan maklumat dengan tepat dan cepat.

iii.                Guru dapat meningkatkan kemahiran dalam penggunaan teknologi.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan kemahiran guru dalam penggunaan aplikasi berkaitan teknologi. Guru-guru juga kan didedahkan dengan peralatan-peralatan teknologi seperti computer, LCD, CD, pendrive, hardware, software, internet dan sebagainya yang memerlukan seseorang guru itu mahir dalam mengendalikan peralatan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa guru-guru dapat mempelajari dan memahami penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik dan cekap.

iv.                Guru dapat menambah pengetahuan  berkaitan teknologi.
Guru juga dapat menambah pengetahuan berkaitan teknologi melalui penggunaan aplikasi tertentu dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran, guru dan pelajar saling berinteraksi untuk meningkatkan kualiti penyampaian pengajaran menggunakan teknologi dengan lebih baik. Contohnya, penggunaan aplikasi ‘kahoot’ dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dapat membantu guru mempelajari serta mendalami aplikasi tersebut dengan lebih mendalam agar dapat membantu proses pengajaran guru.

v.                  Guru dapat mengatasi masalah bilangan pelajar yang ramai.
Perisian pengajaran menggunakan teknologi dapat mengatasi masalah keberkesanan pengajaran yang melibatkan bilangan pelajar yang ramai. Hal ini demikian kerana sekiranya guru menggunakan kaedah pengajaran tradisional, guru-guru akan mengalami masalah untuk menyampaikan pengajaran dengan keadaan pelajar yang ramai. Oleh itu, guru dapat mengawal keadaan pelajar yang ramai dengan menggunakan pendekatan teknologi dalam pengajaran agar dapat menarik tumpuan semua pelajar terhadap pengajarannya. Contohnya, penggunaan video mampu menarik minat kesemua pelajar di dalam kelas terhadap pengajaran guru.

KEPENTINGAN TEKNOLOGI TERHADAP PELAJAR.

i.                    Pelajar dapat membina kemahiran kognitif.
Gagne (1985) menyatakan bahawa pelajar perlu mengulangi pelajaran beberapa kali untuk memahami dan mengingati pelajaran tersebut. Oleh itu, penggunaan teknologi dapat mempercepatkan proses ingatan pelajar terhadap pelajaran. Bahan-bahan seperti video dan paparan slaid dapat membantu pelajar mengingati maklumat yang dipelajari dengan lebih cepat dan lebih mudah. Pelajar juga dapat membina ingatan sendiri untuk membolehkan mereka mengingati sesuatu pelajaran menggunakan teknik yang bersesuaian. Penggunaan teknologi juga dapat membantu pelajar memahami topik pembelajaran dengan lebih mudah tanpa perlu menggunakan teks-teks yang panjang dan mengambil masa yang lama untuk diingati oleh pelajar.

ii.                  Pelajar dapat mempelajari kemahiran pembelajaran kendiri.
Pembelajaran kendiri menggunakan aplikasi teknologi dapat memberi galakan kepada pelajar untuk mengawal pembelajaran berdasarkan tahap kemampuan serta kesesuaian mereka. Penggunaan kuiz secara atas talian dapat memberi galakan kepada pelajar untuk mempelajari maklumat berkaitan pembelajaran mengikut tahap kefahaman mereka.

iii.                Pelajar dapat mempelbagaikan kaedah pembelajaran.
Perisian pengajaran menggunakan teknologi membolehkan penyampaian isi pelajaran kepada murid dalam bentuk yang mudah difahami  dan lebih menarik berbanding penggunaan buku-buku atau media cetak seperti surat khabar. Penggunaan aplikasi yang berinovasi dan bervariasi dapat mewujudkan kepelbagaian dalam kaedah pembelajaran pelajar daripada pembelajaran bersifat tradisional kepada pembelajaran yang lebih menarik dan berteknologi.

iv.                Pelajar dapat menjimatkan masa pembelajaran.
Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu menjimatkan masa pembelajaran di dalam kelas. Contohnya, penggunaan paparan slaid sebagai maklumat yang ingin disampaikan berkaitan tajuk pembelajaran dapat menjimatkan masa berbanding jika guru membuat penerangan secara bertulis pada papan putih. Selain itu, penggunan video pada set induksi dapat mengurangkan masa pelajar mengakses maklumat berkaitan tajuk pembelajaran.

v.                  Pelajar didedahkan dengan pembelajaran yang menghiburkan.
Penggunaan teknologi dapat menghiburkan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan-bahan yang berunsurkan animasi dapat menarik minat pelajar, khususnya pelajar menengah rendah terhadap bahan animasi yang berkaitan dengan topik pembelajaran. Selain itu, aplikasi “Quizizz” dapat merangsang minat pelajar terhadap kuiz yang dibina oleh guru menggunakan aplikasi teknologi. Pelajar juga tidak terikat dengan teknik pembelajaran yang berasaskan buku teks dan buku latihan semata-mata.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, guru-guru terutamanya guru Bahasa Melayu perlu diberi pendedahan terlebih dahulu berkaitan teknologi supaya mereka dapat mengaplikasikan teknologi ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi terutamanya pada abad ke-21 ini menjadi suatu keperluan kepada guru-guru dan pelajar sekolah agar mereka sedar kepentingan teknologi ini untuk membantu pengajaran dan pembelajaran yang lebih berinovasi. Guru-guru Bahasa Melayu juga perlulah celik terhadap penggunaan teknologi bagi membolehkan mereka tidak ketinggalan terhadap penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah.